KALAU TAK LARAT BERSILAT ELOK LAGI BERSILA
HIDUP MELAYU - UNTUK DIKORBANKAN !!!
Ucapan raja-raja dan juga seorang diktator tua pada kali ini adalah laksana
mainan tape rekod lama juga. Orang Melayu diminta untuk berkorban lagi. Walaupun
ucapan-ucapan rasmi ketua negara selalunya disediakan oleh penulis khas, kita mampu
tersenyum sinis mendengar ucapan itu kerana kita tahu itulah juga mesejnya tahun yang lalu
dan tahun-tahun yang akan datang lagi.
Yang Di Pertuan Agong Sultan Salahuddin
bersyukur di atas kesanggupan rakyat Malaysia berkorban membantu negara ini
mengatasi masalah kegawatan ekonomi yang lepas. Baginda "bersyukur kelegaan
dalam kedudukan ekonomi negara telah membolehkan ramai rakyat Malaysia pada tahun ini
mengerjakan haji dengan keadaan lebih selesa, tanpa dihimpit dengan masalah kewangan
akibat kegawatan ekonomi."
Apakah baginda faham akan apa yang beliau bacakan itu, hanya Allah saja yang maha
mengetahui kerana apa juga keadaan ekonomi negara, jemaah haji tetap pergi juga dan
bilangannya pun tetap dicatu juga. Cuma, baginda bersedih kerana "terdapat kes-kes
jemaah haji Malaysia terkandas di negara sendiri atau di Arab Saudi kerana mengerjakan
haji melalui pakej-pakej haji yang diurus oleh agensi-agensi swasta."
Demikianlah perjalanan pemikiran seorang raja yang dilantik oleh raja-raja menjadi seorang
Yang Di Pertuan Agong. Tugas utamanya bila tiba hari lebaran ialah membaca skrip. Apakah
beliau benar-benar sedar keadaan sebenar yang dialami oleh bakal-bakal haji ? Apakah
baginda sedar betapa kos mengerjakan fardu haji sudah mencekik leher orang Melayu ? Apakah
baginda sedar sepatutnya kos mengerjakan haji itu tidak patut melebihi RM5,000 ? Apakah
baginda ada diberitahu betapa ramai rakyatnya yang terkandas dan disiksa di bilik tahanan
Arab Saudi ?
Yang Di Pertuan Agong (YDP) dan juga raja-raja Melayu tidak akan tahu
perihal kemalangan yang menimpa rakyatnya di Arab Saudi kerana berita begini tidak
dipaparkan oleh media massa. Hanya dapat di internet sahaja. Tetapi, raja manakah yang
membaca internet sedangkan budaya membaca itu bukannya budaya Melayu sejak orang Melayu
mengenal sultan dan raja? Jadi, semangat berkorban bagi rakyat dan orang Melayu yang
diisyaratkan oleh golongan raja-raja ialah agar orang Melayu itu terus toleran dengan
sikap raja-raja yang semakin tidak perihatin lagi dengan penderitaan rakyatnya. Inilah
saranan YDP yang boleh diiktiraf sebagai satu 'Royal Sacrifice' kerana bagi golongan
istana rakyat sebenarnya sedang berseronok kerana kemajuan ekonomi dan harus bersyukur
kerana ekonomi negara sudah pulih.
Buktikan Kesyukuran Dengan Korban
Sebagaimana
biasa pemimpin ulung Melayu (he.he.he) telah mengutuskan berita juga sambil mengucapkan
Selamat Hari Raya Aidiladha. Ucapan beliau ini telah dikupas terlebih awal lagi oleh
Polong Cyber (sila lihat http://members.tripod.com/mindarakyat2/
- di bawah tajuk "Insafi Tafsiran Korban Ala Mahathir!).
Memanglah cantik
bahasa yang digunakan oleh Mahathir itu. Maklumlah skrip yang diolah oleh pakar penulisan.
Namun, skrip itu pun seperti recorder lama juga. Sebagaimana lazimnya Mahathir
membawa perbandingan akan nasib umat Islam di Kosovo, Bosnia Herzegovina dan di Palestine.
Dia terus berkata:
...."...kita juga tidak boleh lupa untuk bersyukur atas
nasib kita yang lebih baik. Allah s.w.t. menyuruh kita selalu bersyukur kerana orang yang
bersyukur akan menerima lebih banyak nikmat daripada Allah s.w.t. Sebaliknya orang
yang kufur atau tidak bersyukur akan menerima balasan yang pedih daripada Allah s.w.t.
seperti yang dinyatakan dalam al Quran dalam surah Ibrahim, ayat 7. Oleh itu, apabila kita
bersyukur dan berkorban kerananya kita tidak rugi. Sebaliknya kita akan menerima lebih
banyak nikmat sebagai balasan daripada Tuhan."....
Ewaah... cantik sungguh
kata-kata yang digunakannya. Inilah perkataan laksana 'minyak angin yang disapu di kulit
oleh seorang jururawat sebelum menerjah tempat itu dengan jarum untuk dimasukkan ubat
pelali pula.
Beliau pun memulakan jarumnya begini:
..."Di Malaysia
kita bukan sahaja bebas daripada sebarang tekanan musuh tetapi kita tidak pernah
kekurangan apa-apa, baik makanan, pakaian, pekerjaan atau bumbung di atas kepala kita.
Kita tidak perlu berhijrah ke negara lain untuk mendapat pekerjaan.
"Negara
kita bebas daripada malapetaka yang besar. Sementara jiran-jiran kita sering dilanda
banjir besar, ribut taufan, gerak gempa dan letupan gunung berapi, kita sebenarnya
dilindungi daripada ribut taufan oleh jiran-jiran kita. Tidak ada gunung berapi atau gerak
gempa yang dahsyat di bumi Malaysia. Semua ini adalah nikmat yang kita terima di
samping nikmat-nikmat yang lain kerana negara kita aman dan makmur. Oleh
kerana semua ini maka kita harus bersyukur sepanjang masa dan jika kita dikehendaki berkorban tentulah kita tidak keberatan untuk berkorban dan berterima kasih kerana nikmat
yang banyak kita terima.
"Oleh itu, di hari yang mulia ini, saya menyeru
kepada semua umat Islam di negara ini supaya selalu insaf dan bersyukur atas segala hikmat
ini dan membuktikan keinsafan dan kesyukuran ini dengan mengorbankan kepentingan diri dan
merapatkan hubungan silaturahim sesama orang Islam di negara ini. Di masa yang sama kita
berusaha mengelak daripada bersengketa dengan kaum-kaum lain.
"Sebagai sebuah
negara demokrasi kita perlu ada parti-parti politik dan kita menyokong parti yang kita
minati. Tetapi, permusuhan politik tidak harus dikekalkan sehingga keadaan masyarakat
menjadi tegang.
"Sebaliknya di musim haji ini hendaklah kita atasi perbezaan
politik dan kita pupuk semula umat Islam sesama kita. Insya Allah kita akan mendapat
nikmat daripadanya."....
MESEJ MEMUKAU UNTUK ORANG UMNO
Kalau
dianalisis baik-baik ucapan Mahathir ini ada tiga perkara pokok yang dikirimkannya kepada
orang Melayu terutama sekali kepada ahli UMNO sekelian:
a) Orang Melayu mesti
bersyukur.
Inilah lagu lama. Perbandingan yang digunakannya pun adalah bahan lama.
Kosovo, Bosnia, Herzegovina adalah negara Islam yang dikawal begitu lama oleh penduduk
bukan Islam. Malahan, orang Islam yang menderita itu pun bukannya mengamalkan ajaran Islam
sebenarnya, sebelum ini. Mereka boleh berbuat kenduri arwah dengan membaca doa dan
bacaan ayat suci Al Quran. Setelah selesai majlis doa itu mereka mampu mengeluarkan
botol-botol air syaitan untuk dikongsi bersama. Inilah negara yang dijadikan bahan
perbandingan oleh Mahathir. Begitu juga dengan Palestine. Perjuangan orang Palestine
bukannya untuk menegakkan agama Islam. Itu adalah faktor bawah dalam agenda
mereka. Faktor utama mereka ialah menegakkan negara Palestine . Yang mengetuai mereka
mungkin beragama Islam (Yassier Arafat) tetapi sebilangan besar pejuang mereka bukannya
beragama Islam. Namun, kita mesti hormati mereka kerana perjuangan jihad itu. Cuma kita
tidak mahu Mahathir terus menipu orang Melayu dan membawa perjuangan Palestine itu sebagai
perbandingan untuk membincangkan nasib orang Melayu. Kita orang Melayu merempat di tanah
air sendiri di mana kaum mendatang sudah pun diberikan hak yang sama untuk memerintah
negara. Jadinya kita mesti bersyukur untuk apa sebenarnya.
Saya ingin membuat
saranan agar pembaca sekelian membaca satu artikel yang baik bertajuk "Pendedahan:
Mengapa Ahli UMNO Begitu Fanatik" yang ditulis oleh Webmaster Minda Rakyat dalam
kolum Analisis Berita. Saya amat bersyukur kerana masih ada orang Melayu yang sanggup
mengumpulkan fakta untuk bacaan bangsanya. Fakta yang dikumpulkan itu berkisar sentimen
dan fahaman berpolitik yang diamalkan oleh UMNO. Memang meremangkan tengkuk kita ketika
membacanya. Mujurlah ada internet untuk kita mengetahuinya.
B) Orang Melayu Mesti
Berkorban
Setelah bersyukur, orang Melayu diminta bersedia berkorban.
Tujuannya ialah berkorban agar tahap toleransi orang Melayu itu terus ditinggikan untuk
menerima segala doktrin politik Mahathir. Kerana itu beliau berkata: ".......jika
kita dikehendaki berkorban tentulah kita tidak keberatan untuk berkorban dan berterima
kasih kerana nikmat yang banyak yang kita terima."
Inilah mesej penting
kerana orang Melayu mesti terus berkorban dan berterima kasih kerana nikmat. Apakah
nikmatnya ? Memadaikah para perwakilan merasa nikmat wang yang dimasukkan ke dalam akaun
mereka, telefon bimbit, kad ATM, kereta Kancil secara percuma dan sebagainya itu? Itukah
nikmat yang disogokkan kepada sekitar 2000 perwakilan yang akan bersidang pada Mei 11
nanti. Bagaimanakah dengan hutang negara yang bertapuk yang memerlukan dua generasi akan
datang untuk melangsaikannya? Bagaimanakah masalah negara yang terumbang-ambing dari segi
kos pelajaran Universiti semakin naik? Bagaimana masalah sekolah dua sessi yang amat
merunsingkan ibu-bapa? Bagaimana pula masalah pendatang asing yang semakin melambak tanpa
surat izin dan kini berani merompak di siang hari tanpa segan dan silu?
C)
Menghapuskan Permusuhan Politik
Sekali lagi ini satu taktik lama. Perkara yang sama
diucapkannya ketika menyambut Hari Raya Puasa yang berlalu. Apa jadinya selepas itu ?
Beliau telah berucap panjang selama tujuh jam di Putrajaya kepada kira-kira 100
orang pemimpin UMNO seluruh negara. Selepas itu beliau terbang ke luar negara untuk
bercuti dan seterusnya pergi untuk berucap di Davos. Apa yang jadi akhirnya ? Sebagaimana
yang kita tulis dalam "Antara Api dan Bara", rakyat menjadi terkejut dengan
berita penangkapan yang dilakukan ke atas Karpal Singh, Marina Yusuf, Zulkifli Sulung dan
She Lin Thye. Mereka ditangkap dan dituduh di bawah Akta Hasutan. Kita ada merakamkan
peristiwa itu begini:
..Rakyat geger dengan penangkapan itu kerana ia berlaku
selepas peristiwa ucapan yang panjang. Malahan kalau dikira akan penerbangan perdana
menteri ke luar negara, tidurnya dalam pesawat itu belum cukup lama lagi. Air basinya pun
belum lagi menjadi, arahannya sudah pun dipatuhi."
Dengan lain perkataan,
kini rakyat hanya mampu senyum sahaja bila mendengar ajakan Mahathir agar perbezaan politik itu diatasi dan persaudaraan Islam di antara semua ahli parti dipupuk semula.
Siapakah boleh percaya dengan saranan beliau ini?
Hanya Orang Yang Disihir Sahaja
Boleh Ditipu
Apa juga yang akan dicakapkan oleh Mahathir, rakyat Melayu sudah jelak
mendengarnya. Apatah lagi mahu mempercayainya. Cuba lihat fakta di bawah ini:
Hukuman Mahkamah Kelolaan Mahathir.
"Rahim Nor dipenjara dua bulan".
Demikianlah kata pujuk Utusan Meloya bertarikh 16 Mac. Kerana mendera Anwar Ibrahim,
Rahim Nor yang sudah mengaku akan kesalahannya itu didenda maksimum RM2,000 dan dikenakan
'Custodial imprisonment" selama dua bulan. Tetapi akhbar hanya mengatakan beliau
dihukum penjara. Jauh sangat perbezaan kerana 'custodial imprisonment' bererti beliau
boleh dikenakan kurungan dalam rumah sahaja tanpa perlu pergi ke penjara.
Bayangkanlah
impak hukuman itu dengan kerja-kerja jijik yang telah dilakukan. Yang lebih pelik lagi
beliau dibenarkan ikat jamin menunggu prosiding rayuan. Anwar Ibrahim yang dihenyak hampir
lumat tidak dibenarkan ikat jamin dan terus disumbat dalam penjara. Di penjara pula
tercetus pelbagai cerita negatif yang termasuk kisah keracunan makanan dan arsenic.
Di
akhbar yang sama pada muka surat 11 ada pula berita :
Lelaki jual telur
penyu
dipenjara, denda RM2,750.
"Abdul Khalid Hamid, 51 dijatuhi hukuman penjara dan
denda RM2750 atau penjara tiga bulan kerana memiliki 151 biji telur mentah penyu tanpa
kebenaran daripada Pengawal Hidupan Liar, Jabatan Perhutanan."
Alangkah melucukan sekali cerita ini kalau dibuatkan perbandingan dengan hukuman yang
dikenakan terhadap Rahim Nor itu.
Sebenarnya saya memang malas mengupas cerita penganiayaan
hukuman yang diturunkan oleh mahkamah negara, kebelakangan ini. Hanya M.G.
Pillai orang yang sesuai untuk mengupas segala perjalanan mahkamah itu kerana beliau
adalah di antara mangsa hukuman yang tidak masuk akal itu. Saya lebih berminat mengumpul
keratan akhbar tentang hukuman yang dijatuhkan itu sebagai bacaan di hari mendatang.
Mungkin jua sebagai rujukan cucu dan cicit yang mungkin berminat menjadi seorang peguam
apabila besar.
Saya ingin mencadangkan kepada Webmaster sekelian agar menyediakan
satu ruang khas di mana kita boleh menarik minat orang Melayu akan berita akhbar tentang
hukuman yang tidak berpadanan yang dilaksanakan di negara ini. Mungkin ada satu kesedaran di
kalangan siswa dan siswi kita akan skandal hukuman mahkamah ini dan diberikan satu ruang
khas di setiap Laman Web Pro-reformasi akan kumpulan fakta ini sebagai santapan umum.
Cuba
lihat berita ini bertarikh 29 Februari di Utusan Meloya:
Penganggur curi Seluar
Dalam Dihukum Sebat.
"Gara-gara mencuri dua kotak seluar dalam, seorang
penganggur hari ini dijatuhkan hukuman penjara dan disebat dua sebatan oleh
Mahkamah Majistret di sini. Majistret Shahrizal memerintahkan Hairi Ramli
32, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 27 Januari lalu
dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun."
Hairi mencuri seluar
dalam berjenama Master yang kesemuanya bernilai RM46.62 milik Kompleks Pernas Sogo di
Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada pukul 8.45 malam 27 Januari lalu.
Cuba
kita bayangkan, seorang penganggur yang pernah melakukan jenayah kecil sebelum itu telah
ditangkap dan dihukum sebat kali ini kerana mencuri barang bernilai Empat puluh Enam
Ringgit. Mungkinkah penganggur ini seorang penagih dadah? Di Tokyo ataupun di
London, kalau ada sesiapa yang ditangkap kerana 'shoplifting' hanya namanya dikeluarkan di
akhbar, tetapi dia tidak pun dihukum seberat itu. Cuba buat perbandingan dengan orang yang
cuba membunuh seseorang dengan cara membalun matanya sehingga lebam sedangkan mangsa
diikat tangannya di belakang. Apakah setimpal hukuman yang diterimanya itu dibandingkan
dengan seorang penganggur yang mencuri seluar dalam?
Bagaimana pula kalau dibandingkan dengan kesalahan seorang kampung yang menggali pasir di
pantai dan mencuri telur penyu ? Apakah berat sangat kesalahan mengutip telur penyu kalau
dibanding dengan kes membalun mata seorang pemimpin negara? Bagaimana pula kalau
dibandingkan kes mencuri telur penyu itu dengan kes membalun saham untuk menantu dan
mengeluarkan AP (Approval Permit) untuk membawa masuk kereta asing. Bukankah kerja
itu menyaingi kereta buatan negara sendiri? Apabila ia dilakukan oleh
menteri yang bertanggungjawab dengan usaha memajukan industri negara bukankah itu satu
kesalahan yang besar?
Perkara semacam ini memang nampak 'simple' tetapi membawa maksud dan impak yang amat negatif sekali kepada bangsa Melayu. Bagaimana dengan kisah
orang bukan Melayu yang membalun harta dan khazanah bangsa Melayu secara terang-terangan ?
Siapakah yang telah ditangkap di atas kematian Jalil yang mendedahkan skandal BMF di Hong Kong
dulu?
Apakah Lagi Yang Mesti Dikorbankan?
Mahathir dan para
pemimpin UMNO kerap mahukan orang Melayu berkorban. Tetapi cuba beritahu pada orang
Melayu berapa ramaikah anak-anak menteri (termasuk anak-anak Mahathir) yang pergi
belajar ke luar negara tanpa biasiswa kerajaan ? Oleh kerana mereka pulang dan tidak
berkhidmat dengan kerajaan, apakah mereka ada membayar balik kos biasiswa itu ?
Satu
ketika dulu kalau ada perlawanan bola di England, kita dapat melihat siaran langsung
melalui TV Malaysia. Kini kita hanya mampu menonton siaran tertunda kerana siaran langsung
di monopoli oleh Astro. Tujuan Astro diadakan ialah mendapatkan pelanggan yang membiayai
kos siarannya. Tetapi, pelanggan Astro hanya sekitar 300,000. Tentu sekali Astro
tidak mendapat keuntungan seperti yang dijangkakan. Kerana itu Astro diberikan lesen untuk
TV Pendidikan. Kalau ibu dan bapa berminat untuk mengetahui mata pelajaran yang diajar
kepada anak-anak mereka di sekolah-sekolah, kenalah mereka melanggan kepada Astro.
Siapakah tuan punya Astro kalau bukan para kroni? Sekali lagi orang Melayu
mesti bersedia berkorban.
Kalau kita pergi ke stesen pam minyak sekarang ini kerap
sangat kita dapati tanda 'kehabisan Stok' di beberapa pam minyak di ibukota. Kenapa?
Mengikut pembantu pam 'stok minyak sudah habis di kilang" Kemudian dengan nada yang
rendah mereka akan berkata "Harga minyak akan naik lagi". Di akhbar hari ini
sudah disiarkan betapa pengendali stesen minyak mahukan margin keuntungan yang lebih baik
lagi. Mereka mahu persen yang lebih tinggi daripada tujuh persen. Bagaimanakah perkara ini
boleh dibiarkan berpanjangan sedangkan syarikat pengeluar minyak berbelanja besar terhadap
iklan setiap tahun ? Malahan iklan yang disiarkan itu adalah sama dengan iklan yang
dikeluarkan di negara luar. Ini bererti royalti pengiklanan perlu dibayar kepada firma
pengiklanan antarabangsa juga. Bukankah ini satu rampokan pemikiran orang Malaysia kerana
iklan pun mesti dicanai dari luar negara ? Mahathir kerap bercakap pasal globalisasi
tetapi beliau seakan-akan membisu dengan tipu muslihat ini. Kenapa? Bukankah anak-anaknya
pun ada saham dalam syarikat pengiklanan? Bukankah presiden kesatuan pengiklanan Malaysia
itu Dato Jaafar bin Mohd. Ali dan adik ipar kepada Mahathir?
Kesimpulan
Melalui
ucapan yang dituturkan oleh YDP Agong dan juga Mahathir, nampak sangat betapa orang Melayu
terpaksa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang memerintah. Di waktu yang
sama, rakyat mesti berkorban lagi. Perbandingan yang digunakan berdasarkan kesengsaraan orang luar negara memang tidak boleh dipakai lagi. Kerana ini menunjukkan betapa murahnya
pemikiran pihak yang memerintah dalam menggunakan perbandingan itu.
Rakyat marhaen terus dianggap sebagai satu golongan hamba abdi yang bodoh dan tidak
berfikiran waras. Rakyat dianggap sebagai golongan yang dimestikan percaya dengan apa
sahaja yang diperkatakan oleh pemimpin. Di sana sini sudah semakin terserlah betapa tidak
munasabahnya tindak-tanduk pentadbiran kerajaan Mahathir. Hukuman yang ditentukan oleh
mahkamah adalah satu perkara yang menjijikkan. Rakyat marhaen akan terus berada
dalam satu keadaan hidup yang tertekan kerana sikap kerajaan yang tidak memberi
penekanan kepada cara menyelesaikan kesengsaraan rakyat.
Apa juga saranan
yang dibuat oleh UMNO dan para pemimpinnya, sudah dianggap sebagai satu tipu muslihat oleh
pucuk pimpinan parti untuk terus berkuasa dengan apa cara sekali pun. Rakyat marhaen terutama sekali para pengikut totok UMNO sudah semakin yakin, bahawa UMNO bukan lagi
sebuah parti yang memperjuangkan nasib orang Melayu. Dengan terus meminta rakyat berterima
kasih dan bersyukur Mahathir dan para pemimpin UMNO sebenarnya sudah mensabotaj martabat
Melayu itu secara keseluruhannya.
Hanya masa yang terdekat akan menentukan betapa
UMNO dan Mahathir dapat terus bertahan sebagai simbol pemerintahan yang
"membawa bangsa Melayu itu terus maju tanpa sebarang masalah". Yang nyata
sekarang ini orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya akan menjadi satu bangsa yang
perlu terus berkorban untuk selama dua generasi yang akan datang bagi tujuan membayar
hutang lapok yang dibuat oleh pemerintahan kuku besi yang sungguh rakus itu. Inilah
kepintaran Mahathir. Orang Melayu harus bersyukur dengan kesenangan yang ada. Di waktu
yang sama si bedebah ini mahukan orang Melayu sanggup terus berkorban untuk membayar
segala hutang negara yang bertapuk disebabkan kerakusannya.
Marhaintua@Hotmail.com
.........bersambung... 17 Mac, 2000.
|